Tuesday, June 23, 2015

Jauh perjalanan, luas pemandangan.

Bismillah arRohman arRohim.

Assalaamu'alaikum..

Rasanya sudah agak berhabuk wahana tulisan ini, dan mungkin sudah lebih kurang setahun aku tidak menyumbang apa-apa pada blog ini.

Ada kebenaran pada pepatah yang sering kita dengar,“Jauh perjalanan, luas pemandangan, banyak pengalaman.”



Aku berada di Jordan selama satu sem; lebih kurang 5 bulan. Pada masa itu aku sudahpun memasuki kuliah, dan pada masa yang sama juga aku memilih untuk memperbaikkan lagi bahasa Arabku dengan memasuki Markaz Lughah di Universiti yang sama juga. [Lihat: Permata; yang tidak ternilai]

[Secebis hikmah di bumi berkah; Jordan.]

Ada yang pelik dan terkesima apabila kukatakan yang aku cuma belajar di Jordan selama hampir setengah tahun sahaja. Mereka hairan dengan bilangan pelajar yang aku sempat berkenalan dengan, mentelah aku orang Singapura. Walaupun hakikatnya tidaklah begitu ramai namun aku tetap bersyukur. Mungkin itulah hadiah Tuhan kepadaku. Banyak hikmah dan pelajaran, serta pengalaman dapat kuraih di sana.

Pada hari pertama saja aku sudah dilayan begitu baik oleh senior-senior daripada Malaysia, dan hari berganti hari layanan mereka makin membuatku rasa hormat serta segan dengan mereka, dan semestinya aku amat terharu. Dari sini mampu kubuat kesimpulan yang menjadi seorang yang lebih senior, lebih berpendidikan dan lebih berilmu tidak seharusnya bersikap umpama dialah yang paling berilmu sesama kita, ataupun mula menyindir mereka-mereka yang baru berada di suatu tempat yang mereka sudah lama berada dalamnya. Bahkan ada yang apabila aku berbincang dengan mereka perihal agama, layanan mereka begitu sopan dan saling menghormati. Tidak ada sebarang sifat-sifat yang seolah-olah ingin mengatakan, “Hey, aku sudah tahulah” atau “Alah kau baru, ape tau, lek lu.”



Ya mungkin ada kadang-kadang, namun tidak selalu dan hanya segelintir mungkin yang menunjukkan sikap-sikap sedemikian.

Ketahuilah, dengan tatasusila serta tutur percakapan yang berhemah saja, sebenarnya sudah mampu membuat kami merasa rendah diri. Tidak perlu sebarang sindiran, atau kutukan dan seumpamanya hanya semata ingin menunjukkan yang kau lebih senior. Lebih kelakar mungkin apabila ada yang mentertawakan telatah si pelajar baru, dan dalam masa yang sama, lupa yang dahulunya, dia juga berperangai serupa.

[“..dan Madinah itu lebih baik bagi mereka seandainya mereka mengtahuinya”]

Aku kemudiannya beralih ke kota yang lebih melimpah berkahnya iaitu kota Madinah Nabawiyyah. Allah U pernah berfirman:-

وَقُل رَّبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلْطَانًا نَّصِيرًا
Yang bermaksud:-
Dan pohonkanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhanku! Masukkanlah aku dalam kemasukan yang benar, serta keluarkanlah aku dengan cara keluar yang benar, dan berilah aku daripada sisiMu kekuasaan yang menolongku(iaitu hujjah yang jelas dan keterangan yang pasti)."
QS 17(Al-Isro’): 80

Dalam memberi tafsiran pada ayat ini, Ibn Kathir rahimahuLLah; seorang ulama' tafsir, ada membawa beberapa pendapat, antaranya adalah seperti berikut:-

وقال قتادة وقل رب أدخلني مدخل صدق يعني المدينة وأخرجني مخرج صدق يعني مكة .
وكذا قال عبد الرحمن بن زيد بن أسلم. وهذا القول هو أشهر الأقوال

Yang bermaksud:-
Dan telah berkata Qotaadah: 'Masukkanlah aku dalam kemasukan yang benar' bermakna Al-Madinah (dan) 'serta keluarkanlah aku dengan cara keluar yang benar' pula merujuk pada Makkah, dan begitulah juga sepertimana dikatakan ‘AbdurRohman bin Zaid bin Aslam, dan pendapat ini adalah pendapat yang paling masyhur.
Tafsir AlQur-aan Al’Adziim oleh Ibn Kathir

Juga sepertimana tertera di atas, itu sebenarnya adalah daripada sabda Nabi r sendiri yang berbunyi:-

" ..والمدينة خير لهم لو كانوا يعلمون."
 Yang bermaksud:-
“..dan (sesungguhnya) Madinah itu adalah lebih baik bagi mereka seandainya mereka tahu.”
Muttafaqun ‘alaih; AlBukhari: 1875 dan Muslim: 1388.

Belajar di universiti yang mana hampir segala perbelanjaan berkaitan ditanggung pihak kerajaan, acapkali membuat kita lupa nasib mereka-mereka di luar sana; yang belajar di tempat lain, yang terpaksa menanggung kos penerbangan, tempat tinggal, bil api dan air, itu dan ini. Pokoknya, memang tiada kesudahan boleh dikatakan.

Kadang sedih apabila melihat rakan sebaya atau senior berbelanja sakan kemudian mengadu wang yang diberi pihak kerajaan kepada kami sebenarnya tidak cukup, sedangkan pada aku ianya sudah lebih daripada cukup. Bayangkan setiap bulan kami diberi sebanyak 840 riyal untuk dibelanja. Kemudian pada setiap tahun pula, setiap pelajar akan diberikan sebanyak 1000 riyal pula untuk perbelajaan kitab. Jika kami mendapat gred Mumtaz(seperti Excellent/Distinction) untuk dua semester berturut-turut pula, kami akan diberi wang sagu hati sebanyak 1000 riyal sekali lagi sebagai hadiah. Apa lagi yang tidak cukup? Bahkan aku dapat tahu ada sebahagian pelajar yang sebaik saja menerima 840 itu, dia akan ketepikan sebanyak 500 riyal; untuk kegunaan peribadi seperti kos pengangkutan, atau untuk membeli kitab, atau untuk menolong dan meringankan lagi beban keluarga, atau ketiga-tiga sekali. Bayangkan 840 tolak 500, hanya tinggal 340 sahaja! Sungguh pelajar-pelajar ini banyak membuatku menambahkan rasa syukurku padaNya dan semestinya, aku tabik pada mereka.

Teringat aku pada sebuah ayat, firman Allah U:-

فَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا وَاشْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
Yang bermaksud:-
Justeru, makanlah (wahai orang-orang yang beriman) apa yang telah Allah rezekikan kepada kamu daripada benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya sahaja.
QS 16(An-Nahl): 114

Begitu juga sabda Nabi r:-

عن أبي هريرة، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: لا يشكر الله من لا يشكر الناس
 Yang bermaksud:-
Daripada Abi Hurairah, daripada Nabi r beliau berkata: Tidaklah seseorang itu (dianggap) bersyukur kepada Allah jika dia tidak bersyukur pada manusia.
HR Abu Daud: 4811. 
(Dinilai Sohih oleh Al-Albaani dan telah ditahqiq oleh Syeikh ‘Isom Musa Hadi.)

[Ma’had Lughah dan Thanawi]

Berbeza dengan Jordan, di Universiti Islam Madinah sini, para pelajar akan diberi dua kemungkinan; iaitu untuk masuk terus ke kuliah serta-merta atau harus terlebih dahulu memasuki Ma’had Lughah(tempat belajar bagi memperkasakan lagi penggunaan Bahasa Arab, umpama kursus kilat atau crash course) atau Thanawi(tempat belajar seperti sekolah Menengah di negara kita atau Pra-Universiti).



Aku sengaja memilih untuk memasuki Ma’had Lughah di sini kerana aku masih belum bersedia untuk menghadapi gelombang tekanan kuliah yang sebenar, dan aku rasa aku perlukan sedikit masa lagi untuk menyesuaikan diri, walaupun aku sudahpun menuntut di Universiti Yarmouk serta Markaz Lughah di Jordan terlebih dahulu.



Pada hematku, kededuanya(Ma’had Lughah dan Thanawi) adalah tempat belajar yang hebat serta baik penyusunan sukatan pelajarannya. Walaupun aku tidak pernah memasuki thanawi di sini, aku yakin pihak sekolah telah buat yang terbaik bagi menjadikan keluaran Thanawi ini pelajar-pelajar yang hebat. Justeru tidak pernah terlintas di benak fikiranku tempat belajar mana yang lebih bagus atau mana yang lebih hebat dan seumpama. Ini kerana pertama-tama sekali, latar tempat belajar itu sendiri berbeza; yang mana satu adalah seperti sekolah Menengah atau Pra-U, dan yang lagi satu adalah khusus bagi memperkasakan B. Arab kita. Ia adalah seperti kita membezakan antara British Council dan Sekolah Menengah St. Andrew’s bagi Singapura atau Sekolah Menengah Ibn Khaldun bagi Malaysia.

Aku sendiri yang belajar di Jordan; yang mana penggunaan serta pemilihan kata B.Arabnya lebih tinggi berbanding sini, tidak berani untuk membezakan yang mana satu antara Markaz Lughah di Jordan dan Ma’had Lughah di Madinah lebih baik daripada yang lain. Apa yang boleh kukatakan adalah sistem atau sukatan pembelajaran di Universiti Islam Madinah mungkin lebih tersusun berbanding di Universiti Yarmouk(Jordan), tapi dari segi keberkesanan dan seumpama, tidak berani kuberkata apa-apa.

Inikan ada yang membeza-bezakan, merendah-rendahkan dan sebagainya. Ketahuilah engkau pada hakikatnya bukanlah merendahkan kami pelajar Ma'had, tapi merendahkan pihak Ma’had itu sendiri, serta para masyaikh (guru-guru) dalamnya! Alangkah sombong, dangkal, cetek serta picik sekali pemikiran engkau! HadaakumuLLah!

Allah berfirman dalam kitabNya:-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ
Yang bermaksud:-
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah ada puak (daripada kam lelaki) yang mencemuh (dan merendah-rendahkan) puak lelaki yang lain, kerana mungkin saja puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan begitu juga puak drpd kaum perempuan bagi puak drpd kaum perempuan yang lain(agar tidak mencemuh dan merendah-rendahkan antara satu sama lain), kerana mungkin saja puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka..
QS 49(Al-Hujurot): 11

Nabi juga pernah berpesan dalan hadithnya:-

لا يدخل الجنة من كان في قلبه مثقال ذرة من كبر
Yang bermaksud:-
Tidaklah masuk seseorang itu ke dalam syurga bagi siapa yang mempunyai di hatinya walau seberat zarah daripada (sifat) bangga diri..

Dalam hadith yang sama, Nabi sambung:-
..الكبر بطر الحق وغمط الناس
Yang bermaksud:-
..sombong itu adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia.
HR Muslim: 91

Hakikatnya, setiap tempat itu mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Manapun kita dicampakkan, adalah menjadi tugas kita untuk memanfaatkannya sebaik mungkin. Jika ditanya pelajar Thanawi kepada pelajar Ma’had sebuah soalan, tidak semesti si pelajar Ma'had itu dapat menjawabnya, dan begitu juga sebaliknya. Mentelah jawapan terbaik jika tidak pasti akan jawapannya adalah Allah a'lam(Allah saja mengetahuinya) Mudah bukan? Allah musta'aan.

SubhaanaLLah, rasanya sudah agak panjang tulisanku kali ini.
Semoga bermanfaat.

Assalaamua'laikum.

No comments:

Post a Comment